Cinta Pandang Pertamaku

Orang selalu berkata cinta pandang pertama selalu menipu. Cinta pandang pertama tidak berkekalan, dan banyak lagi teori yang mereka katakan terhadap cinta pandang pertama. Bagi aku selagi cinta itu membahagiakan, aku tidak peduli, yang penting aku bersama dengan orang yang aku cintai.

Aku adalah seorang blogger amatur, orang di sekelilingku mengenali aku dengan nama Arif, mungkin sebelum-sebelum ini aku mempunyai blog tetapi bukanlah blog peribadi. Sehinggalah dua minggu lalu terdetik didalam diriku untuk memiliki sebuah blog peribadi. Maka tertubuhlah sebuah blog yang bernama boonto.blogspot.com. Aku sering melawat blog-blog terutamanya dari Malaysia untuk mencari kawan dan saling bertukar alamat blog, kerana aku tahu cara sebegini dapat membuatkan ramai pengunjung akan masuk ke blog kita. Begitulah perkara yang akan ku lakukan sekiranya aku melayari internet di bilik asramaku, Universiti Malaysia Sabah.

Di saat aku menulis artikel ini bertarikh 14 November pada waktu petang , aku baru bangun dari tidur dan terus mengadap laptop dan membuka blogku. “ah, tiada komen lagi!” kataku. Memang bosan bila tiada pengunjung datang ke blog kita dan tiada yang memberi komen. Namun aku tahu, aku baru sahaja mula berblog, mustahil ramai yang akan memberi komen. Akupun melihat ruangan sembang, seperti biasa, akan ku klik alamat pengunjung yang ada di dalam ruangan sembang itu. Aku pun masuk ke setiap satu alamat sehinggalah ke alamat http://izzyzatt.blogspot.com. Tajuk blog ini ‘IZZY IN HER LIFE JOURNEY’. Aku dapat meneka mesti pemilik blog ini seorang penuntut universiti sama seperti aku dan memang tekaan ku betul, beliau seorang perempuan yang ingin dikenali sebagai Izzy dan sedang meniti usia remaja pada umur 21 tahun. Aku juga mendapat tahu Izzy akan menjadi cikgu tidak lama lagi. Aku pun melihat artikel-artikel yang ditulis dalam blog itu, tiba-tiba mataku tertumpu pada gambar-gambar yang ada di dalam artikel bertajuk ‘Istana berkuda emas’. Aku tidak tahu kenapa hatiku tidak keruan, aku tidak pernah melalui keadaan seperti ini. Aku terdiam, tubuhku terpaku di kerusi meja belajar di dalam bilikku, aku tidak lagi mendengar apa-apa bunyi-bunyian selain jantungku yang berdegup kencang.Apa yang telah terjadi pada diriku ini?

“Mungkin inikah yang di katakan cinta pandang pertama?” hati kecilku berbisik. Tidak mungkin hal ini terjadi pada diriku, di saat aku sedang menghadapi peperiksaan, aku tidak harus diganggu dengan perkara lain. Tetapi, akhirnya aku mengalah, aku terpaksa mengaku yang aku jatuh cinta pandang pertama dengan insan bergelar Izzy. Buku-buku pengajianku, aku biarkan sahaja dia atas meja, aku sibuk mencari latar belakang Izzy. Aku melihat artikelnya satu persatu, sehinggalah aku membaca artikel bartajuk “ Tagged by Ashikin”, dari artikel ini, banyak yang aku tahu mengenai Izzy, dan yang paling aku teruja bila mendapat tahu Izzy masih belum berpunya. Gembiranya aku bukan kepalang, tetapi aku sedar sekiranya aku meluahkan isi hatiku pada Izzy, belum tentu diterima. Umur kami berbeza dua tahun, dan aku pula hidup di hujung malaysia. Izzy tinggal di semenanjung, tidak mungkin dia sanggup menerima pasangan hidupnya jika mereka tinggal berjauhan. Aku juga sedar cinta jarak jauh banyak risikonya. Namun aku tahu, semua itu bukan penghalang, Rasullulah sendiri berkahwin dengan Khadijah yang perbezaan umur mereka ketika itu ialah 15 tahun.

Daripada permerhatianku terhadap Izzy, mungkin aku dapat simpulkan dia sepadan dengan diriku. Aku paling suka bila melihat gambarnya ketika senyum, dan aku tidak tahu kenapa, hatiku akan terus berdegup pantas bila melihat senyumannya yang manis itu. Selama ini, aku tidak pernah duduk lama bila mengunjungi blog-blog orang lain. Tetapi tidak bagi blog Izzy, aku sanggup melihat artikel-artikel lamanya. Melihat link-link kawan-kawannya, dan aku mendapat tahu kawan Izzy iaitu amey sudah bertukar link dengan blogku, http://kicikchomot.blogspot.com. Mungkin aku boleh bertanyakan Amey tentang Izzy dengan lebih mendalam lagi. Lalu aku terbaca “tagged” lagi, kali ini mungkin membuatku sedikit cemburu, kerana Izzy pernah berpunya, tetapi cemburu itu sekejap saja kerana sekarang ini, Izzy masih sendiri lagi.

Walaubagaimanapun, aku tidak harus melayan perasaan cintaku berseorangan. Aku perlu cuba meluahkan isi hatiku yang terpendam kepada Izzy. Tapi bagaimana caranya? apa yang harus aku lakukan? Pening aku memikirkan caranya.

Mungkin satu keajaiban telah berlaku, mungkin tuhan juga mengetahui Izzy memang teman yang sepadan buatku, mungkin juga salah satu tulang rusukku ada padamu Izzy. Aku gembira, inilah satu-satunya cara untuk meluahkan isi hatiku; PERTANDINGAN MENJAWAB SOALAN IZZY!!! Ya, inilah satu-satunya jalan yang paling singkat. Aku juga gembira kerana salah satu syarat di dalam pertandingan itu ialah “awak nak kenal saya, sila promote diri”. Ya, aku memang ingin mengenalimu Izzy, malah aku ingin mengenalimu dengan lebih dalam lagi. Dari saat itulah aku mula bertungkus lumus cuba menyiapkan artikel untuk pertandingan itu, bukan untuk memenangi hadiah yang ditawarkan, tetapi memenangi hati insan bernama Izyan Izzaty binti Salikan .

Aku tahu Izzy, mungkin terlalu cepat aku meluahkan segala yang ada dalam hatiku, tetapi aku ingin engkau tahu, aku menyukaimu, segala gerak-gerimu, perwatakanmu, dan yang utama sekali senyumanmu, mungkin aku bukanlah lelaki yang engkau mahu. Tetapi cukup bagiku sekiranya kau tahu ada lelaki yang menyukaimu dengan pandangan pertama. Aku tahu satu pepatah, “Menerima orang yang mencintaimu lebih bahagia daripada menerima orang yang tidak mencintaimu”. Mungkin orang di sekeliling akan mentertawakanku, begitu juga orang yang membaca artikel ini. Tetapi hanya satu yang aku ingin tahu darimu Izzy ,sudikah engkau mengenali isi hatiku?

_________________________________________________________
Info: Sila ke blog penganjur pertandingan: http://izzyzatt.blogspot.com

0 comments: